March 16, 2013

Deria Rasa



Kawasan rasa lidah manusia.
  • Lidah membolehkan kita untuk mengesan rasa manis (sweet), masin (salty), masam (sour) dan pahit (bitter).
  • Permukaan lidah mempunyai deria / tunas rasa (taste buds). Tunas rasa ini menyebabkan permukaan lidah kasar dan menggerutu (spotty).
  • Setiap tunas mempunyai banyak reseptor rasa yang boleh mengesan rasa sesuatu bahan.
  • Setiap tunas rasa adalah sensitif terhadap SATU jenis rasa tertentu sahaja.
  • Lidah manusia mempunyai empat kawasan / bahagian, yang mana masing-masing sensitif terhadap rangsangan rasa tertentu sahaja.
  • Sebagai contoh, bahagian depan lidah adalah lebih sensitif terhadap rasa manis dan masin, bahagian belakang lidah lebih sensitif terhadap rasa pahit,  manakala bahagian sisi lidah lebih sensitif terhadap rasa masam.

March 15, 2013

Deria Bau





Kepekaan (sensitivity) hidung kepada rangsangan adalah dipengaruhi oleh faktor-faktor berikut:
  • Kekuatan bau.
Bau yang lebih kuat akan lebih mudah dikesan oleh hidung berbanding dengan bau yang lebih lemah. Jika sel-sel deria dirangsang oleh bau yang kuat, bau-bau yang lain (yang lebih lemah baunya) tidak akan dikesan pada masa yang sama.
  • Kehadiran mukus dalam hidung.
Mukus yang banyak akan mengurangkan kepekaan hidung kerana kurang bahan-bahan kimia yang merangsang sel-sel deria. Sebaliknya, ketiadaan mukus menyebabkan rongga hidung kering dan menyebabkan bau tidak dapat dikesan dengan betul.
Semasa selsema, sel-sel deria dilitupi dengan mukus yang banyak. Ianya menghalang sel-sel deria daripada dirangsang oleh bahan kimia. Oleh itu, orang yang menghidap selsema mempunyai kecekapan hidung yang kurang.

March 6, 2013

Organisma Unisel dan Multisel


 MIKROORGANISMA UNISEL
Terdiri daripada hanya satu sel sahaja
Selalunya hidup dalam air dan tempat yang lembap



 MIKROORGANISMA MULTISEL
Terdiri daripada banyak sel dengan fungsi berbeza
Kebanyakkan hidup dalam air, sesetengahnya boleh hidup di atas roti lembap


 sekalipun organisma unisel hanya terdiri daripada satu sel sahaja, namun organisma tersebut masih dapat  melakukan semua aktiviti seperti organism multisel. Contohnya, membiak, respirasi dan bergerak.

Tuas Kelas Ketiga

tuas kelas ketiga

Tuas Kelas Kedua

tuas kelas kedua

Tuas Kelas Pertama

tuas kelas pertama

TuAs


Tuas adalah mesin ringkas (simple machine) yang boleh membantu kita melakukan kerja dengan lebih mudah.

Tuas (lever) adalah suatu batang/bar tegar (rigid bar) yang bolehbergerak/berputar bebas pada satu titik tetap yang dipanggil fulkrum(fulcrum) apabila suatu daya (effort) dikenakan keatasnya untuk mengatasi daya lain yang menentang yang dikenali sebagai beban (load).

Tuas digunakan untuk memberikan kelebihan mekanikal (mechanical advantage) dalam menghantar atau mengubah (transmitting or modifying) daya dan gerakan.

Sistem tuas (lever system) membolehkan suatu beban yang berat dipindahkan dari satu titik ke titik yang lain dengan menggunakan daya (effort) yangminima. Ini boleh membantu mengurangkan tenaga.




menganalisa tuas dan jenis-jenis kelas nya

Langkah-langkah dalam penyelidikan saintifik


Saintis melakukan penyelidikan saintifik dalam mendapatkan pengetahuan saintifik. Ini melibatkan penyelidikan yang bersistematik untuk mengetahui sebab-sebab fenomena saintifik.

Langkah-langkah yang perlu diambil dalam melakukan penyelidikan saintifik adalah seperti di bawah;
  1. Menentu serta memastikan apa yang ingin kita ketahui.
  2. Membuat andaian yang bijak bagi menceritakan permasalahan.
  3. Rancang penyelidikan yang bersistematik untuk mengetahui samada andaian kita adalah benar.
  4. Tentukan apa yang perlu diubah semasa melakukan penyelidikan.
  5. Catat segala apa yang diperhatikan.
  6. Dapatkan maksud atau pengertian atas pemerhatian yang dilakukan.
  7. Tentukan samada andaian yang kita buat adalah benar.
  8. Tulis sebuah laporan penyelidikan saintifik.

Isu pendidikan di Malaysia


Tanggungjawab sistem pendidikan adalah untuk menyediakan generasi muda dengan pelbagai pengetahuan dan kemahiran supaya mereka dapat menghadapi alam dewasa. Dalam konteks menyediakan pendidikan yang ideal, tujuan dan matlamat pendidikan negara pada abad ke 21 amat jelas sekali. Kementerian Pendidikan telah menyusun dan merancang untuk memperbaiki, memperkukuh, dan mempertingkatkan mutu pendidikan negara sesuai dengan perubahan sosialisasi masyarakat hari ini. Salah satu unsur yang penting adalah memberikan peluang pendidikan yang sama kepada semua pelajar tanpa mengambil kira budaya, kelas sosial, kelompok etnik dan amalan atau cara hidup.

Dalam buku Pembangunan Pendidikan 2001-2010 (KPM, 2001). Kementerian Pelajaran Malaysia menyatakan bahawa pembangunan pendidikan dari Zaman Dasar Pembangunan hingga ke Zaman Dasar Wawasan Negara telah berjaya mencapai banyak kemajuan khususnya dalam penyediaan infrastruktur, kemudahan pendidikan dan latihan perguruan. Strategi meningkatkan peluang pendidikan berjaya mencapai sasarannya. Walau bagaimanapun, apa yang dilihat pada masa ini masih terdapat pelbagai isu yang ditimbulkan berkaitan dengan pencapaian Dasar Pendidikan Kebangsaan, antaranya perkara berhubung sengan struktur pendidikan; akses kepada pendidikan; ekuiti; kualiti tenaga pengajar; ketidakseimbangan penyediaan infrastruktur; Pelaksanaan Program PPSMI; dan kurikulum yang relevan. Ini selaras dengan pendapat Sufean (2004) yang menyatakan terdapat banyak isu pendidikan yang boleh dikatagorikan iaitu pentadbiran, peringkat pendidikan, teknologi pendidikan, organisasi sekolah dan keguruan.
Struktur Pendidikan
Beberapa isu berkaitan dengan struktur pendidikan antaranya termasuklah struktur pendidikan menengah yang tidak selaras kurang menepati keperluan, misalnya:
  • Bilangan tahun persekolahan struktur pendidikan Malaysia tidak sama dengan kebanyakan negara lain di dunia;
  • Tidak terdapat keseragaman dalam kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) disebabkan wujudnya pelbagai haluan;
  • Kebanyakan pelajar memilih untuk menamatkan persekolahan mereka selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM); dan
  • Skop kurikulum Tingkatan 1 hingga 6 sangat luas.
Akses Pendidikan
Selaras dengan perkembangan teknologi semasa, KPM telah memperkenalkan Teknologi Maklumat dan Komunikasi atau Information and Communication Technology (ICT) dalam pendidikan yang meliputi aspek prasarana, pengisian dan latihan guru. KPM telah melaksanakan pelbagai projek ICT dengan pembekalan komputer sebagai aktiviti utama penyediaan infrastruktur ICT. Namun isu dan masalah yang menjejaskan usaha penggunaan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Antara masalah tersebut adalah berkaitan dengan:
  • pembekalan komputer yang tidak seimbang antara sekolah bandar dan luar bandar;
  • perisian komputer untuk P&P yang sesuai sukar diperoleh;
  • latihan dalam perkhidmatan untuk guru mengendalikan sistem komputer di sekolah yang kurang berkesan;
  • penyenggaraan komputer yang kurang memuaskan di sekolah; dan
  • bilangan guru terlatih dalam ICT yang belum mencukupi.
Justeru adalah menjadi cabaran kepada KPM untuk memastikan setiap sekolah akan memperoleh komputer menjelang usaha menjadikan setiap murid dan guru celik ICT.
Ekuiti Pendidikan
Dalam pelaksanaan Pembangunan Pendidikan 2001-2010, setiap institusi pendidikan di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) akan dipastikan mempunyai infrastruktur yang berkesan yang mencukupi dan berkualiti untuk pelaksanaan kurikulum dan kokurikulum yang berkesan. Oleh itu, input pendidikan yang meliputi guru, peruntukan kewangan, bahan dan peralatan pengajaran serta program sokongan akan diagih secara adil ke semua sekolah bagi mengurangkan jurang perbezaan antara sekolah beruntung (advantaged school) dan sekolah kurang beruntung (disadvantaged school). (Sumber: Pembangunan Pendidikan 2001-2010, KPM).
Namun, setelah lebih kurang tujuh tahun pelaksanaan program tersebut, masih terlalu banyak sekolah-sekolah di Malaysia yang belum dapat menikmati kemudahan yang dijanjikan. Ini menyebabkan timbulnya beberapa isu yang dikaitkan dengan ekuiti atau peruntukan yang disediakan oleh KPM tidak mencukupi untuk pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Sebagai contoh, kementerian tidak menyediakan prasarana yang amat diperlukan, seperti bilik darjah yang mempunyai kemudahan khusus, terutamanya sekolah-sekolah luar bandar atau pedalaman. Selain itu, kemudahan lain seperti sumber pengajaran dan pembelajaran dan kelengkapan buku teks juga masih berkurangan.
isu-isu pendidikan
Tenaga pengajar
Kekurangan tenaga pengajar yang berkemahiran turut menjadi isu dalam pelaksanaan pendidikan pendidikan yang berkesan. Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Bahagian Perancangan Pembangunan Pendidikan (BPPDP) Kementerian Pelajaran Malaysia, pada tahun 2000 sebanyak 61.8 guru terdiri daripada guru perempuan dan KPM menghadapi masalah menempatkan mereka di sekolah luar bandar, khususnya di pedalaman dan pulau. Kebanyakan sekolah di pedalaman dan pulau mendapat guru yang kurang berpengalaman atau kurang latihan. Keadaan ini juga turut menyebabkan berlaku ketidaksepadanan (mismatch) dalam pengagihan guru mengikut opsyen. Maka berlakulah keadaan di mana kebanyakan guru yang mengajar di sekolah menjadi “bidan terjun”. Guru yang bukan opsyen terpaksa mengajar mata pelajaran kritikal seperti Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris bagi memenuhi keperluan pelajar. Disebabkan kurang pengalaman dan pengetahuan tentang subjek berkenaan maka kewibaan guru dalam menyampaikan ilmu kepada pelajar mula dipertikaikan.
Program PPSMI
Sejajar dengan matlamat ingin melahirkan pelajar yang “bertaraf dunia”, KPM juga telah melaksanakan Program Pengajaran dan Pembelajaran Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Walau bagaimanapun penggunaan bahasa Inggeris sebagai pengantar subjek sains dan matematik telah mendapat respon yang negatif daripada rakyat. Ini kerana penggunaan bahasa asing bukan sahaja merosakan kedudukan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa ilmu, tetapi turut memusnahkan reputasi pelajar, khususnya di luar bandar. Mereka belajar melalui medium yang mereka tidak faham. Komunikasi tidak berkesan dalam pelajaran sudah tentu memberi kesan yang buruk.
Kesan globalisasi
Selain daripada itu, isu-isu berkaitan pendidikan juga turut melibatkan penggunaan internet. Era dunia tanpa sempadan atau globalisasi telah memudahkan maklumat diperoleh dengan cepat dan berkesan melalui internet atau laman-laman web dan sebagainya melalui komputer. Implikasinya, isu-isu Moral semasa khususnya isu-isu yang membabitkan nilai-nilai sosial menjadi begitu kompleks dan menjadi sukar untuk diselesaikan. Fenomena ini disebabkan nilai-nilai murni masyarakat Malaysia yang ingin diterapkan bercanggah dengan nilai-nilai di Barat atau negara-negara maju yang lain yang mana mereka lebih mementingkan materialistik, individualistik dan budaya kosmopolitan.
Sahsiah Pelajar
Kualiti sahsiah pelajar pada pelbagai peringkat pendidikan juga turut menjadi isu dan dipersoalkan kerana masih terdapat sebilangan pelajar rendah yang naik ke sekolah menengah, atau pelajar menengah rendah yang naik ke Tingkatan 4 memiliki kualiti sahsiah yang kurang baik. Hal ini berlaku pada kebanyakan murid tanpa mengira kaum dan agama. Sebagai contoh, tabiat merokok di kalangan pelajar, gejala vandalisme, melepak, ponteng sekolah dan sebagainya di kalangan pelajar sekolah semakin menjadi-jadi.
Isu-isu lain dalam sistem pendidikan
Selain isu-isu yang dikemukakan di atas, terdapat pelbagai lagi isu yang timbul berkenaan pencapaian Dasar Pendidikan Kebangsaan, antaranya:
  • Kepimpinan sekolah masih tidak dapat berfungsi sepenuhnya sebagai pemimpin pengurusan dan pemimpin pengajaran (instructional leadership) yang berkesan;
  • Pengupayaan kepada sekolah adalah terhad. Semua sekolah masih perlu mengikuti satu sistem, prosedur dan pendekatan yang seragam dan tidak mengambil kira kemampuan, keupayaan khusus dan potensi untuk sekolah melaksanakan dasar dan program pendidikan sendiri;
  • Layanan yang sama diberi kepada semua sekolah walaupun pada realitinya sekolah mempunyai keperluan, kekuatan dan kelemahan serta keupayaan yang berbeza;
  • Keselamatan di sesetengah sekolah masih belum terjamin sepenuhnya;
  • Penandaarasan bagi menjamin sekolah di Malaysia setanding dengan sekolah di negara maju adalah terhad;
  • Struktur organisasi antara lapisan pentadbiran di KPM yang tidak setara menyebabkan penyaluran dasar dan pelan pelaksanaan kurang sistematik dan berkesan;
  • Sistem penyampaian masih belum cekap dan berkesan khususnya daripada aspek pemberian bantuan; dan
  • Sistem maklumat tidak menyeluruh dan tidak bersepadu

Contohi penekanan sains sekolah Cina


Oleh NURUL ANUAR KARI


Murid tahun satu daripada pelbagai kaum belajar bersama-sama di sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC). - Gambar hiasan


PERATUSAN pelajar mengambil jurusan Sains dikatakan turun mendadak sejak 2007 dan kini dianggap amat kritikal di samping memperlahankan sasaran untuk Pelan Hala Tuju Modal Insan Sains dan Teknologi 2020.
Pelan hala tuju tersebut menyasarkan 60 peratus pelajar mengambil aliran sains sementara selebihnya aliran sastera.
Namun, di setiap peringkat pilihan sama ada peperiksaan utama di sekolah, matrikulasi mahupun di universiti, rata-rata pelajar lebih cenderung memilih subjek yang 'lebih mudah' berbanding aliran sains.
Ditambah pula dengan klasifikasi pelajar aliran sains yang 'sama rata' dengan pelajar bidang lain, tidak menggambarkan mereka mengikuti subjek kritikal sedangkan mata pelajarannya jauh lebih sukar dan hanya boleh diikuti pelajar tertentu.
Akhirnya, pelajar yang mengambil 'subjek mudah' mencatatkan Nilai Purata Gred Kumulatif (CGPA) tertinggi, menerima pelbagai anugerah dan juga biasiswa pendidikan.
Tidak cukup di situ, persimpangan selepas meninggalkan universiti juga kehilangan sebilangan graduan sains kepada kerjaya bidang lain akibat beberapa faktor termasuk kerja yang bahaya, waktu kerja, gaji dan birokrasi.
Hakikatnya, aliran sains bukan sahaja kelihatan lebih sukar, tidak menarik dan sudah hilang keistimewaan berbanding aliran lain, malahan kebanyakan kerjaya sains sedia ada tidak menawarkan kelebihan yang sepadan, sama ada dalam sektor awam mahupun swasta.
Bermula dari dalam rumah, di sekolah, universiti dan akhirnya kerjaya sains, masyarakat negara ini secara umumnya tidak meletakkan aliran sains sebagai satu bidang menarik, mungkin kerana gambaran serong bahawa kerjaya lain seperti kewangan, perniagaan mahupun sebagai artis hiburan lebih berbaloi untuk anak-anak mereka.
Tanpa penerapan jiwa sains, motivasi serta galakan terhadap minat anak-anak kecil terhadap kepelbagaian ilmu sains, mereka juga akan membesar dengan perspektif bahawa kerjaya sains tidak berbaloi dengan kesukaran bertahun-tahun mempelajarinya.
Pihak berwajib kini bukan sahaja berhadapan dengan masalah minat murid untuk belajar dalam bidang sains malahan pilihan untuk menceburi kerjaya sains yang kritikal untuk negara.
Tokoh pendidikan, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom tidak dapat menjelaskan kenapa kemerosotan itu berlaku tetapi berharap satu kajian mendalam dapat dijalankan segera bagi mengenal pasti puncanya.
Namun, beliau menekankan langkah mengatasinya perlu digerakkan segera bagi memastikan aliran sains menjadi pilihan utama murid dalam jangka panjang.
"Penyelesaian masalah ini banyak bergantung kepada guru dan ibu bapa yang perlu memberi penekanan subjek sains menawarkan masa depan yang lebih baik kepada anak-anak.
"Kaunselor sekolah juga perlu menunjukkan jalan ke arah peluang yang terbuka di universiti dalam pelbagai bidang sains di samping biasiswa dan bantuan yang khusus untuk subjek kritikal," katanya.
Jelas beliau, pihak universiti hanya mengambil pelajar yang memenuhi syarat untuk kursus yang ditawarkan, maka semuanya bermula di sekolah dalam menekankan aliran sains jika murid mahukan masa depan dalam kursus berkaitan.
"Ada juga yang kata pelajar aliran lain juga boleh ambil kursus sains di universiti tetapi bilangannya kecil. Adalah lebih mudah jika murid aliran sains yang ditawarkan peluang itu.
"Oleh itu, sekolah dan ibu bapa perlu mainkan peranan dalam mendorong anak-anak memilih aliran sains seterusnya ke arah kerjaya kritikal dan profesional yang lebih diperlukan pasaran kelak," ujarnya.
Tokoh akademik, Tan Sri Ibrahim Abu Shah pula berpendapat punca masalah tersebut perlu dilihat dari pelbagai sudut dan daripada peringkat permulaan lagi.
Menurut beliau, menjadi sifat manusia untuk memilih yang lebih mudah dan itu juga sering dilakukan murid serta pelajar dalam memilih aliran pelajaran di sekolah mahupun kursus di universiti.
"Murid Melayu terutamanya takut untuk mengambil aliran sains yang dilihat lebih susah menjelang peperiksaan utama di sekolah.
"Di peringkat matrikulasi juga begitu, mereka takut untuk meneruskan ke bidang sains sebaliknya bertukar ke bidang lain walaupun telah mengambil subjek sains ketika matrikulasi," katanya.
Tambahnya, keputusan peperiksaan ketika matrikulasi juga menjadi halangan kerana CGPA yang diperolehi menghalang atau menyukarkan pelajar meneruskan pendidikan sains kritikal dan terpaksa memilih bidang kurang kompetitif.
Menurutnya, rasa takut dan keputusan peperiksaan menjadi antara punca utama kurangnya pelajar Melayu di universiti-universiti yang menawarkan subjek kritikal dan profesional.
Namun, beliau merasakan guru yang menjadi faktor paling penting dalam menentukan arah tuju murid-murid mengambil aliran sains ke arah subjek kritikal di universiti kelak.
"Para guru menjadi tiang utama dalam membimbing, menggalakkan dan memberi motivasi kepada pelajar untuk mengambil aliran sains.
"Peranan guru cukup penting sebagai satu ibadah, tugas suci dalam melatih murid-murid mereka menjadi manusia yang berjaya dan berguna," tegasnya.
Tambahnya, walaupun ibu bapa mempunyai peranan tersendiri dalam menggalakkan anak-anak ke arah sains, tetapi hakikatnya murid lebih mendengar kata-kata guru di sekolah.
"Tambahan pula, ibu bapa yang rata-rata sibuk dengan kerja kini telah melepaskan sepenuhnya anak kepada sekolah terutamanya jika sekolah berasrama penuh.
"Maka murid lebih banyak menghabiskan masa di sekolah dan dengan itu lebih mendengar cakap guru mereka," jelasnya.
Malangnya, mengikut pengamatan beliau sejak bersara dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), guru-guru di sekolah kebangsaan dilihat tidak begitu komited dalam membangunkan modal insan murid terutamanya anak-anak Melayu.
"Sedih saya katakan, kita tidak begitu komited berbanding guru di sekolah Cina yang pentingkan kualiti, disiplin dan kekitaan di kalangan murid mereka.
"Kebanyakan sekolah Cina tidak membuang masa hujung minggu sebaliknya mengadakan aktiviti sukan, tuisyen dan macam-macam lagi bersama murid-murid," ujarnya.
Jelasnya, guru besar dan guru-guru sekolah Cina begitu komited dan ikhlas kerana sayangkan bangsa mereka sehingga sanggup meluangkan masa hujung minggu bersama murid sekolah tanpa meminta apa-apa pampasan.
Ibrahim juga sedih membandingkan cara pendidikan bangsa lain dengan orang Melayu dalam menanam semangat rajin belajar dan bekerja keras untuk berjaya kelak.
"Lihat saja murid Melayu di hujung minggu, bebas nak buat apa pun. Masa di sekolah pula banyak dibazirkan guru dengan perkara lain seperti bercakap isu politik di dalam kelas.
"Sedih, kenapa tak sayang kepada bangsa dan agama kita seperti mana guru Cina dalam mendidik anak-anak bangsa mereka sedangkan guru kita telah diberikan gaji besar," soal beliau.
Oleh itu, beliau mencadangkan orang Melayu belajar daripada orang Cina, sama ada guru mahupun ibu bapa dalam aspek pendidikan anak-anak bangsa.
"Saya berharap dalam menangani isu ini, para guru jangan berkira sangat dan betul-betul ikhlas dalam membentuk anak bangsa yang berjaya.
"Kita bantu murid-murid dengan mengubah sikap, bantuan peruntukan dan sebagainya. Biarkan otak anak-anak ini bersih daripada perkara tidak berkaitan agar mereka boleh fokus kepada pelajaran," katanya.
Tegasnya, langkah ini menjadi satu revolusi pemikiran dan kognitif yang perlu disegerakan kerana jika terus gagal muhasabah diri dan memperbaiki apa yang perlu, semakin lama orang Melayu semakin ketinggalan.

© Utusan Melayu (M) Bhd 

ISU PENDIDIKAN : Menarik minat pelajar ke aliran Sains




Oleh Tan Sri Alimuddin Mohd Dom

AKIBAT merosotnya bilangan pelajar aliran sains Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan penubuhan jawatankuasa khas bagi mengkaji punca serta penyelesaian kepada isu tersebut.

Kementerian Pelajaran dilaporkan memandang serius isu kemerosotan minat pelajar dalam bidang sains dan matematik iaitu hanya 37 peratus dan 29 peratus sahaja bagi sains tulen. Jumlah ini tidak mencapai sasaran yang sepatutnya iaitu 60 peratus dalam bidang sains dan 40 peratus aliran sastera atau kemanusiaan.

Kewujudan aliran sains bermula apabila pelajar memasuki Tingkatan Empat di sekolah menengah. Mereka boleh memilih salah satu aliran yang ditawarkan iaitu aliran sains, kemanusiaan atau vokasional. Bagi pelajar aliran sains tulen mereka dikehendaki mengambil mata pelajaran Matematik, Matematik Tambahan, Fizik, Kimia dan Biologi di samping mata pelajaran teras iaitu Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Sejarah dan Pendidikan Agama Islam atau Pendidikan Moral. Kebiasaannya pelajar yang mengikuti aliran sains ini adalah terdiri daripada mereka yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Kemerosotan bilangan pelajar sekolah menengah yang mengikuti aliran sains ini boleh menjejaskan usaha untuk meramaikan siswa mengikuti subjek kritikal di peringkat universiti. Para siswa perlu mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) atau Matrikulasi untuk membolehkan mereka mengikuti bidang perubatan, farmasi, kejuruteraan, akauntansi dan lain-lain.

Sebagai sebuah negara yang sedang memasuki fasa negara maju, bilangan tenaga kerja yang ramai berkelulusan dalam bidang tersebut sangat diperlukan. Mereka akan berperanan menjadi penyelidik, saintis, teknologis, jurutera, perekacipta dan tenaga pengajar di universiti.

Itulah sebabnya Kementerian Pelajaran memperkenalkan dasar 60 : 40. Dasar ini mempunyai kaitan rapat dengan usaha menjadikan Malaysia sebagai negara maju melalui slogan Wawasan 2020 yang diperkenalkan lewat 1980-an.

Tidak dapat dinafikan bukanlah mudah untuk pelajar mendapat kelulusan cemerlang dalam bidang sains kerana ia dikatakan lebih sukar jika dibandingkan dengan mata pelajaran sastera atau kemanusiaan. Ada pelajar yang ingin mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM atau STPM akan memilih bidang kemanusiaan atau vokasional walaupun mereka layak mengikuti bidang sains. Dengan keputusan cemerlang dalam peperiksaan itu membolehkan mereka diterima dengan mudah ke institusi pengajian tinggi dan memilih subjek yang mereka minati.

Kemerosotan bilangan pelajar aliran sains ini perlu dilihat secara holistik. Ini bermakna untuk mengatasi isu tersebut perlu dilihat dari semua aspek dan melibatkan semua pihak. Dengan ini tidaklah dibebankan kepada sekolah atau guru semata-mata.

Isu kekurangan pelajar mengikut aliran sains khususnya di kalangan pelajar bumiputera disedari sejak negara belum mencapai kemerdekaan lagi. Bagi mengatasinya dalam Laporan Razak 1956 mencadangkan penubuhan sekolah berasrama penuh bagi memberi kemudahan kepada pelajar khususnya daripada luar bandar untuk mendapat pendidikan yang terbaik.

Justeru wujud, Sekolah Tunku Abdul Rahman, Ipoh; Sekolah Dato Abdul Razak, Tanjung Malim (sekolah asal); Sekolah Sultan Abdul Hamid, Jitra; Sekolah Seri Puteri, Kuala Lumpur dan Sekolah Tun Fatimah, Johor Bahru. Cadangan yang sama dinyatakan dalam Laporan Rahman Talib 1961. Berikutannya, wujud Sekolah-Sekolah Sains di seluruh negara dan bilangannya kini mencecah hampir 60 buah.

Namun demikian sekolah berasrama penuh sahaja tidak dapat menampung keperluan ramai bilangan pelajar aliran sains tanpa mendapat sokongan daripada sekolah menengah harian dan sekolah swasta.

Dari segi kerjaya nampaknya bidang profesional seperti doktor, jurutera, ahli farmasi atau akauntan kurang menarik minat sebahagian pelajar kerana dalam masa yang sama terdapat ratusan jenis pekerjaan lain yang boleh dipilih oleh mereka.

Melalui kajian-kajian didapati ramai pelajar yang lebih berminat menjadi ahli perniagaan, usahawan, petani, kontraktor, bidang perkhidmatan, bidang hospitaliti seperti masakan, perhotelan, pengendalian restoran dan lain-lain. Bidang kerjaya ini bukan sahaja memberi cabaran baru yang menarik tetapi turut menjanjikan pendapatan lumayan yang boleh mengatasi pendapatan mereka di bidang profesional itu.

Dari segi perjawatan pula, terutama untuk menjadi ketua atau pegawai kanan dalam sesebuah jabatan atau organisasi, sama ada di sektor awam atau swasta termasuk bidang korporat dan badan politik, sebahagian besarnya dimonopoli oleh mereka yang berkelulusan sains sosial atau kemanusiaan.

Ini disebabkan mereka mempunyai kelebihan kerana telah mendapat pendedahan awal bidang pengurusan, pentadbiran dan kewangan semasa belajar di universiti. Berbeza dengan mereka yang mengikuti bidang kritikal atau sains tulen di mana lebih fokus dengan kandungan subjek pengajian mereka sahaja. Oleh itu ada pelajar memikirkan lebih baik memilih bidang yang mempunyai masa depan lebih baik dalam kerjaya nanti.

Walau bagaimanapun untuk memenuhi dasar 60 : 40 yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran maka kerjasama dan sokongan dari ibu bapa, pengetua dan guru-guru sangat diperlukan supaya lebih ramai pelajar berminat untuk memilih aliran sains. Ibu bapa perlu merangsang dan menggalakkan anak meminati mata pelajaran matematik dan sains sejak di sekolah rendah.

Sementara itu pengetua sekolah seharusnya memperbanyakkan aktiviti pendedahan yang boleh menarik minat pelajar dan memberi keyakinan bahawa mata pelajaran aliran sains adalah mudah dipelajari serta mempunyai masa depan yang cerah. Peranan guru tidak kurang pentingnya di mana kaedah pengajaran yang menarik minat pelajar hendaklah sentiasa digunakan dan menjadikan subjek itu tidak membebankan.

Untuk menarik minat pelajar mengikuti aliran sains mereka seharusnya diberi beberapa keistimewaan, antaranya adalah mendapat bantuan kewangan dan laluan mudah untuk melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi. Selain kerajaan, maka badan-badan korporat boleh memainkan peranan dan turut membantu bagi merealisasikan hasrat tersebut. Dengan dorongan ini diharapkan lebih ramai pelajar akan berusaha keras untuk membolehkan mereka ditempatkan dalam aliran sains.

Semoga jawatankuasa khas yang ditubuhkan kelak dapat menyiapkan laporan khusus untuk mengatasi masalah itu.

PENULIS ialah Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad

Sumber : http ; //www.utusan.com.my/

Simbol Amaran Bahaya


Bahan kimia yang terdapat di dalam makmal sains mestilah dikendalikan dengan berhati-hati.

Sesetengah bahan kimia yang amat berbahaya dan juga boleh membahayakan kesihatan kita. Ada yang meletup, menghakis, sangat mudah terbakar atau beracun/toksik.

Kita boleh mengetahui sifat bahan kimia tersebut dengan melihat label pada bekas atau botol yang mengandungi bahan-bahan kimia.

Rajah di bawah menunjukkan beberapa simbol yang terdapat pada label bekas atau botol yang mengandungi bahan-bahan kimia.


Menghakis (Corrosive)
Contoh: Hidrogen peroksida, asid hidroklorik pekat dan natrium hidroksida.



Sangat mudah terbakar (Highly flammable)
Contoh: Fosforus putih, kuning fosforus, petrol, minyak tanah, etanol.


Meletup (Explosive)
Contoh: Natrium, kalium.



Toksik / Beracun (Toxic / Poisonous)
Contoh: Raksa, plumbum, sodium cyanide, hidrogen sulfida.


Berbahaya atau Perengsa (Harmful or Irritant)
Contoh: Ammonia, klorin, klorofom.



Radioaktif (Radioactive)
Contoh: Uranium, torium, radium.

Alat-alat radas dalam makmal


Terdapat pelbagai jenis alat radas di dalam makmal sains. Rajah di bawah menunjukkan beberapa jenis alat radas yang biasa digunakan.

Anda harus tahu apa itu alat radas. Anda juga perlu mengetahui tentang kegunaan am pelbagai alat radas.

Mangkuk pijar (Crucible)
Kegunaan: Untuk memanaskan bahan kimia.
Tabung uji (Test tube)
Kegunaan: Untuk mengisi bahan kimia.
Mangkuk penyejat (Evaporating dish)
Kegunaan: Untuk mengewap cecair daripada larutan.




Penyubat gabus & penyumbat getah (Cork & rubber stopper)
Kegunaan: Digunakan untuk menyumbat tabung uji atau kelalang kon.


Pemegang tabung uji (Test tube holder)
Kegunaan: Untuk memegang tabung uji.




Picagari (Syringe)
Kegunaan: Untuk memindahkan cecair dalam jumlah yang kecil.


Slaid kaca (Glass slide)
Kegunaan: Untuk meletak spesimen bagi tujuan pemerhatian di bawah mikroskop.




Jam randik (Stop watch)
Kegunaan: Untuk mengukur masa.




Bikar (Beaker)
Kegunaan: Untuk mengisi bahan kimia dan cecair.




Kelalang kon (Conical flask)
Kegunaan: Untuk mengisi bahan kimia dan cecair.




Kelalang berdasar rata (Flat-bottomed flask)
Kegunaan: Untuk mengisi bahan kimia yang digunakan dalam penyediaan gas yang mana proses tersebut tidak memerlukan pemanasan.




Corong penuras/penapis (Filter funnel)
Kegunaan: Untuk menapis campuran pepejal dan cecair.




Kasa dawai & tungku kaki tiga (Wire gauze & tripod stand)
Kegunaan: Untuk menyokong radas semasa pemanasan.




Penunu Bunsen (Bunsen burner)
Kegunaan: Untuk menyediakan nyalaan.


Rak tabung uji (Test tube rack)
Kegunaan: Untuk memegang tabung uji dalam kedudukan yang tegak.




Rod kaca (Glass rod)
Kegunaan: Digunakan untuk mengacau larutan didalam bekas.



Kaki retort & pengapit (Retort stand & retort clamp)
Kegunaan: Untuk memegang alat radas semasa eksperimen dijalankan.




Buret (Burette)
Kegunaan: Untuk menyukat isipadu larutan dengan tepat.




Balang gas (Gas jar)
Kegunaan: Untuk mengisi gas.




Penyepit mangkuk pijar (Crucible tongs)
Kegunaan: Untuk memegang objek panas.


Pipet (Pipette)
Kegunaan: Untuk menyukat isipadu larutan dengan tepat.




Silinder penyukat (Measuring cylinder)
Kegunaan: Untuk menyukat isipadu larutan dengan tepat.




Jangka suhu (Thermometer)
Kegunaan: Untuk menyukat suhu.